Latar Belakang River
Cruise Teluk Intan
Sebenarnya, Teluk Intan juga punya produk pelancongan yang tidak ramai orang tahu mengenainya. Selain terkenal sebagai pusat udang galah negara, ianya juga merupakan sebuah bandar lama yang penuh dengan sejarah. Banyak yang boleh diterokai disini dan jika anda ingin tahu apa yang menarik di bandar ini, anda perlu menyelusuri Sungai Perak yang mengelilingi bandar Teluk Intan ini.
Sungai Perak yang mengalir dari Hulu Perak sehingga Bagan Datuk punyai seribu satu cerita dan sejarahnya yang dapat kita hayati. Nadi bagi bandar Teluk Intan itu sendiri ialah Sungai Perak, yang mana ditebingnya itu didirikan pelabuhan yang sekaligus membawa kemakmuran dan penambahan ekonomi kepada Teluk Intan. |
Pelabuhan ini dahulunya penuh dengan kapal wap yang datang untuk membawa barang dagangan. Bangunan-bangunan kolonial juga banyak disekitar tapak pelabuhan Teluk Intan ini. Oleh yang demikian, Jelajah Persisir Sungai Perak yang merupakan sebuah projek pelancongan sungai ala-ala River Cruise telah diwujudkan untuk memudahkan pelancong menyelusuri Sungai Perak di sepanjang Teluk Intan.
Inisiatif ini dibuat agar dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri keunikan dan khazanah alam yang tidak ramai dapat mereka terokai. Pelancongan River Cruise Teluk Intan ini dapat membuka mata para pelancong untuk melihat Teluk Intan dari perspektif yang berbeza dari cara yang biasa. Ianya ternyata merupakan keunikan yang tidak patut dilepaskan. Para pelancong yang menyertai Jelajah Persisir Sungai Perak ini akan bermula di jeti bot penambang Pokok Asam, Teluk Intan. Jeti ini juga mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana ianya merupakan satu-satunya jeti bot penambang yang masih beroperasi untuk membawa penumpang dari Sungai Durian ke pekan Teluk Intan. |